suria

Polis Tumpas 'Geng Nippon' Aktif Samun, Curi Kenderaan

TEMERLOH: Polis menumpaskan "Geng Nippon" menerusi penangkapan empat anggota kumpulan itu yang dipercayai terlibat dengan kes samun dan curi kereta di beberapa daerah di Pahang sejak beberapa bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata kesemua lelaki yang berusia antara 28 dan 40 tahun itu dipercayai terbabit dalam 16 kejadian samun, pecah rumah dan curi kereta di Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Rompin.

Kesemua mereka yang dipercayai penagih dadah ditahan dalam dua serbuan di Kampung Machang Gelap Chenor, Maran dan Felda Purun, Bera pada 15 Oktober lepas, katanya pada sidang media, di sini Rabu.

"Polis turut berjaya menemui semula lima kenderaan yang terdiri daripada tiga kereta Proton Saga dan sebuah Pajero serta sebuah motosikal yang kesemuanya adalah kenderaan curi," katanya.

Katanya siasatan mendapati kenderaan tersebut bukan untuk dijual tetapi digunakan untuk tujuan ragut, samun dan pecah rumah.

Mohd Nor berkata kenderaan itu bagaimanapun akan ditinggalkan begitu sahaja jika mereka berjaya mencuri kenderaan lain.

Pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti jenayah itu kemudian digunakan untuk membeli dadah, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain