suria

Polis Tahan Dua Suspek Kes Pecah Rumah VIP

KUANTAN: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar Kuantan termasuk rumah orang kenamaan.

Kedua-dua lelaki itu masing-masing berusia 29 tahun ditahan pada 19 dan 27 Oktober dan ekoran penahanan mereka, polis menahan dua lagi lelaki berusia 41 dan 43 tahun yang disyaki pembeli barangan curi pada 21 dan 30 Oktober.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata suspek pertama berusia 29 tahun ditahan di Jalan Kemunting di sini hasil maklumat awam dan hasil soal siasat, lelaki terbabit mendedahkan penglibatan rakannya berusia 29 tahun.

"Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah bernilai kira-kira RM25,000 daripada keempat-empat lelaki terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Media Kontinjen Pahang di sini, Rabu.

Beliau berkata dengan penahanan dua lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes pecah rumah di sekitar Kuantan sejak akhir Ogos lepas. Sementara itu, Sharifuddin berkata bilik media berkenaan diwujudkan sebagai pusat penyaluran maklumat dan komunikasi antara PDRM dan anggota media di Pahang.

Beliau berkata bilik media yang terletak dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kos RM200,000 itu mula dibina pada 18 Julai dan siap pada 27 Okt 2011.

Pada majlis itu, Sharifuddin turut menyampaikan surat penghargaan kepada beberapa anggota media termasuk Bernama bagi menghargai jalinan dan kerjasama dengan PDRM. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain