suria

PGM Sarawak Rampas Rokok, Minuman Keras Seludup Bernilai RM184,000

KUCHING: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sarawak merampas rokok dan minuman keras bernilai kira-kira RM184,000 yang dipercayai diseludup, dalam dua serbuan di Pasar Tamu Tebingan Sungai Kemena, Bintulu pada Selasa.

Komandernya Asisten Komisioner Mohd Saleh Mat Jani berkata dalam serbuan serentak kira-kira 10.30 pagi itu pihaknya turut menahan tiga suspek termasuk seorang wanita warga emas.

"Wanita warga emas berusia 71 tahun itu, anak lelakinya, 41, dan seorang lagi lelaki berusia 43 tahun, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Mengulas serbuan tersebut, Mohd Saleh berkata PGM menyerbu dua gerai di pasar tamu berkenaan hasil maklumat awam, dan berjaya merampas 1,016 karton rokok serta 255 botol minuman keras selain dua van yang diguna untuk mengangkut barangan tersebut.

Polis percaya barangan itu diseludup dari China, Jepun dan Korea, katanya yang menambah rampasan tersebut merupakan yang terbesar setakat ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain