suria

Pentadbir Estet Didakwa Ugut Peguam

KLANG: Seorang pentadbir estet dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan mengugut seorang peguam, dua bulan lalu.

N Ragu Ram, 24, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Shazlin Hidayu Kamaruddin.

Tertuduh didakwa mengugut K. Muthiah, 25, dengan berkata 'I am going to burn down your office' (saya akan membakar pejabat kamu) pada pukul 3.30 petang, 15 September lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Firma Guaman Gerard Lazarus & Associates di Tingkat 2, Wisma PAL, Jalan Tengku Kelana, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nizi Shazril Ithnin dan Puteri Iskandariah Md Tahir mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shazlin HIdayu membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamian dan mengenakan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 5 Disember depan.

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain