suria

Penjelasan SPR Tidak Cukup - Maximus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penambahbaikan sistem pilihan raya tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama berkaitan pembersihan daftar pemilih.

Pengerusinya, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, jawatankuasa berkenaan akan mendapatkan keterangan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada mesyuarat kali empat minggu depan berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, SPR dan JPN sebagai badan yang bertanggungjawab bagib mengemaskini rekod daftar pemilih di negara ini perlu hadir bagi memberi penjelasan mengenai proses pembersihan data berkenaan.

"Masih ada tajuk di bawah SPR yang perlu kita bincang bersama JPN iaitu mengenai penambahbaikan daftar pemilih serta soal kelayakan atau syarat yang perlu dipatuhi.

"Kami berpendapat kedua-dua badan ini perlu hadir bersama untuk menjawab serta memberi keterangan lanjut mengenai apa yang dibangkitkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga jawatankuasa berkenaan di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Mesyuarat selama hampir dua jam itu turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Selain itu menurut Maximus, kehadiran SPR pada mesyuarat kali ini adalah bagi memberi keterangan mengenai tindakan yang sedang dan akan diambil oleh suruhanjaya berkenaan mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

"Banyak perkara-perkara yang ditimbulkan. Tapi belum ada apa-apa resolusi dan rumusan yang dibuat oleh jawatankuasa. Kita tunggu mesyuarat akan datang pada 10 November ini," katanya.

Ditanya sama ada SPR memberi jaminan tertentu berhubung isu-isu yang dibangkitkan, Maximus berkata: "Memang mereka memberi jaminan untuk membuat beberapa pindaan mengenai peraturan-peraturan tertentu seperti tempoh berkempen serta proses penamaan calon."

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain