suria

Pengurus Kewangan Dituduh Halang Tugas Polis

PUTRAJAYA: Seorang pengurus kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang di sini, Rabu terhadap tuduhan menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya tujuh tahun lepas. Wong Bee Fong, 39, dituduh menghalang Lans Koperal Muhammad Faudzi Abdul Aziz daripada menjalankan tugasnya di Briged Tengah, PGA, Batu 9, Cheras pada 2.30 pagi 13 Ogos 2004.

Dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Majistret A. Akhiruddin @ Boy Acho menetapkan 5 Disember sebagai tarikh sebutan kes itu dan membenarkan Bee Fong diikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin. Wanita itu membayar wang ikat jaminnya.

Terdahulu, peguam Keppy Wong yang mewakili Bee Fong memberitahu mahkamah bahawa tuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya adalah berhubung laporan polis yang dibuat wanita itu bahawa 11 anggota polis mencabul kehormatannya di tempat sama.

Peguam itu berkata Bee Fong ditahan malam tadi dan ditempatkan di lokap hingga pagi ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Siamalah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain