suria

Penganggur Didenda RM4,000 Edar, Tampal Iklan Pinjaman Tanpa Permit

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM4,000 atau penjara lima bulan pada Rabu jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan mengedar/menampal 680 keping risalah iklan yang menawarkan pelbagai pinjaman tanpa permit pada Khamis lepas.

Majistret Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu selepas Lam Seng Won mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Lam, 21, dari Sandakan, Sabah dituduh melakukan perbuatan itu di sekitar peti pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Hujan Rahmat 1 OUG, Brickfields di sini pada 3.30 petang, 27 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dari setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Martin Tay yang mewakili Lam memohon hukuman berbentuk denda dikenakan kepada anak guamnya memandangkan tertuduh masih muda serta ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain