suria

Papa Tidak Mahu Kos Kursus Bahasa Pembantu Rumah Asing Ditanggung Majikan

PUTRAJAYA: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) menyambut baik cadangan kerajaan mewajibkan semua pembantu rumah asing kecuali dari Indonesia mengikuti kursus Bahasa Malaysia selama enam bulan bagi mempertingkatkan kemahiran komunikasi antara mereka dan majikan.

Presiden Papa Jeffrey Foo berkata selain pendedahan komunikasi dan Bahasa Malaysia, pembantu rumah asing perlu didedahkan dengan tugas dan tanggungjawab yang bakal dipikul serta kekuatan mental ketika bekerja di negara ini.

Namun katanya kos latihan selama enam bulan itu tidak seharusnya ditanggung majikan yang sememangnya berbelanja besar untuk mendapatkan pembantu rumah asing. Justeru Jeffrey meminta kerajaan supaya melihat cadangan itu dari semua sudut bagi memastikan tidak ada pihak yang menanggung bebanan dan tekanan.

"Kalau latihan enam bulan bermakna mereka perlu ditempatkan di satu tempat khas, perlu sediakan makanan dan minuman serta tenaga pengajar dari Malaysia.

"Siapa yang akan menanggung semua kos itu? Majikan? Jadi perkara ini perlu dilihat secara komprehensif," katanya pada Rabu.

Sementara itu, Jeffrey yang menyambut baik hasrat kerajaan Kemboja menarik balik pembekuan pembantu rumah ke negara ini berkata kerajaan perlu mengambil langkah-langkah awal bagi melindungi keselamatan dan kebajikan pembantu rumah.

"Kerajaan kena kaji apa masalah sebenarnya dan mengambil tindakan terhadap majikan atau agensi sekiranya perlu.

"Bukan bila ada masalah baru cuba nak selesaikan masalah itu. Kerajaan perlu mengambil pendekatan mencegah daripada mengubati," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain