suria

Ops Sikap Mampu Pupuk Pemandu Berhemah

KUALA LUMPUR: Ops Sikap bagi membendung kadar kemalangan pada musim perayaan akan diteruskan kerana ia masih sesuai dan dapat memastikan pemanduan berhemah di jalan raya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata buat masa ini, Ops Sikap tidak akan diganti dengan mekanisma lain kerana ia berkesan dalam membendung kadar kemalangan dan kematian pada musim perayaan.

"Berdasarkan statistik, 60 peratus daripada kemalangan maut yang berlaku adalah di luar kawasan Ops itu sendiri," katanya ketika menjawab soalan Salleh Kalbi (BN-Silam) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Abu Seman berkata kajian oleh Unit Penyelidik Cawangan Trafik Bukit Aman juga menunjukkan 90 peratus daripada pengguna jalan raya bersetuju mereka lebih peka terhadap undang-undang jalan raya dengan penguatkuasaan Ops Sikap.

"Kajian yang dijalankan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) secara umum faktor utama ialah berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri iaitu memandu dalam keadaan tidak cukup rehat yang menyebabkan badan lesu dan mengantuk, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu melebihi had laju dan sikap tidak berhemah terhadap undang-undang jalan raya," katanya.

Mengenai kos Ops sikap, beliau berkata sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan operasi adalah ditaja oleh syarikat swasta seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Berhad, Telekom Malaysia (TM) Berhad dan lain-lain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain