suria

Ketua Cabang PKR Bebas Tuduhan Bersubahat Menipu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, melepas dan membebaskan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rantau Panjang, Datuk Mohammad Agos Mohd Noor daripada tuduhan bersubahat dengan seorang ibu tunggal menipu seorang lelaki berhubung penganugerahan Dato' D'Raja dari sebuah persatuan kerabat, tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie terhadap tuduhan yang dihadapi oleh Mohammad Agos, 52, dan Nor Azimah Jamaludin, 32.

Mohammad Agos sebelum ini didakwa bersubahat dengan Nor Azimah untuk menerima sekeping cek Public Bank bernilai RM50,000 bertarikh 7 Disember 2010 daripada Izuldin Hani Mohd Noor pada 8 Disember 2010 di Restoran McDonalds, Taman Melawati, Setapak di sini.

Wang tersebut didakwa sebagai dorongan untuk Nor Azimah melakukan suatu transaksi yang dicadangkan iaitu mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari Persatuan Kerabat Yang Maha Mulia Long Yunus Negeri Kelantan.

Mohammad Agos yang ditahan pada 15 Disember tahun lalu juga menghadapi tuduhan pilihan iaitu bersubahat dengan Nor Azimah untuk menipu Izuldin Hani bagi mempercayai bahawa wanita itu boleh mendapatkan anugerah tersebut sedangkan ia tidak sah mengikut Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.

Dia didakwa telah melakukan kesalahan itu yang mendorong Izuldin Hani menyerahkan cek terbabit yang mana lelaki tersebut tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan.

Pendakwaan terhadap Nor Azimah pula dilakukan kerana dia didakwa menerima suapan tersebut, manakala bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa didakwa menipu Izuldin Hani dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh boleh mendapatkan anugerah itu padahal ia tidak sah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa yang mengemukakan 22 saksi pendakwaan.

Barisan pembelaan pula dibarisi oleh peguam-peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain