suria

Kedah Lebih Bersedia Hadapi Banjir - Azizan

ALOR SETAR: Banjir yang diramal melanda Kedah bulan ini atau awal Disember dijangka dapat dikawal dan tidak seburuk tahun lepas berikutan ada antara punca bencana itu sudah tiada lagi di samping kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah perlu.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata projek landasan kereta api berkembar yang menjadi antara punca banjir tahun lepas kini hampir siap dan laluan air sepanjang landasan itu telah dibuka yang membolehkan air mengalir lebih cepat.

Kerajaan negeri juga belajar daripada pengalaman tahun lepas dan telah menempah 16 bot bernilai hampir RM200,000 sebagai tambahan kepada pot polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini, Rabu.

Katanya wakil kerajaan negeri akan menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di Kuala Lumpur pada Khamis yang akan membincangkan persiapan banjir serta penyelarasan antara agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Dalam menghadapi banjir tumpuan adalah di kawasan permulaan banjir di hulu seperti Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang. Antara masalah yang dikenal pasti ialah pengangkutan mangsa banjir, penempatan dan air bersih (minum). Dalam soal ini kerajaan negeri lebih bersedia," tambahnya.

Menurut Azizan kerajaan negeri menjangka akan membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk mangsa banjir kali ini sepertimana tahun lepas.

Katanya beliau akan membuat permohonan bertulis kepada kerajaan pusat di bawah peruntukan kecemasan sekiranya perlu untuk kebajikan mangsa banjir.

Azizan baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan negeri akan memohon sebanyak RM10 juta dari kerajaan pusat untuk tujuan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain