suria

Jumlah Peserta Tajaan 1IMDB Ke Tanah Suci Tahun Depan Ditambah - Najib

MEKAH: Jumlah imam serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditawar mengerjakan haji di bawah penajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dinaikkan lagi tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana kerajaan mengiktiraf betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh para imam dan ketua-ketua kampung ini sebagai pemimpin di peringkat akar umbi.

Beliau berkata program tahunan yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat 1MDB itu dilancarkan selepas kerajaan melihat masih ada kalangan pemimpin dari dua kelompok itu yang belum menunaikan haji ekoran masalah kewangan.

"Sebab itu 1MDB lancar program ini, sebagai salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporatnya," katanya pada persidangan akhbar di ibu pejabat Tabung Haji di sebuah hotel di sini, Rabu.

Beliau kemudiannya dibawa menemui kumpulan pertama 110 imam dan pengerusi JKKK itu yang ditaja oleh 1MDB, yang jelas gembira diberi peluang menemui pemimpin yang bertanggungjawab membawa mereka ke tanah suci.

1MDB tahun ini menaja pemergian 57 imam dan 54 pengerusi JKKK seluruh negara untuk mengerjakan haji, namun seorang daripada mereka meninggal dunia di tanah air sebelum sempat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Dalam ucapannya pada pertemuan dengan kumpulan imam serta pengerusi JKKK itu, Najib berkata tahun lepas kerajaan sudah menaikkan elaun imam daripada RM450 kepada RM750 sebulan dan elaun pengerusi JKKK daripada RM450 kepada RM800 sebulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain