suria

Jabatan Perhutanan Kedah Jamin Aktiviti Pembalakan Tidak Cemar Sungai

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Kedah (JPK) memberi jaminan aktiviti pembalakan di Bukit Perak, Pendang tidak mencemarkan takungan air yang menjadi sumber kegunaan penduduk tujuh buah kampung di kawasan sekitar.

Pengarahnya Ku Azmi Ku Aman berkata pengambilan balak hanya meliputi kawasan yang ditetapkan, bagi membolehkan syarikat Kuari Bukit Perak Sdn Bhd mengambil batu di kawasan terbabit.

Pemantauan jabatan ini mendapati aktiviti pembalakan di kawasan 150 hektar itu tidak mengganggu aliran air sungai yang disalur ke tiga kolam tadahan yang diberi permit, katanya kepada media, di sini, Rabu.

Beliau mengulas bantahan oleh kira-kira 200 penduduk kampung terbabit pada Ahad lepas, yang mendakwa lapan kolam tadahan yang menjadi sumber air bagi kegunaan harian mereka kini tercemar akibat aktiviti pembalakan itu.

Mereka turut meminta agar aktiviti pembalakan itu yang diberi permit kerajaan negeri itu dihentikan.

Mengulas lanjut, Ku Azmi berkata berdasarkan rekod jabatan itu hanya tiga kolam tadahan diberi permit dan telahpun tamat pada 1988.

"...lima lagi mungkin dibina oleh penduduk tanpa pengetahuan JPK," katanya.

Beliau juga berkata aliran air sungai tidak melalui kawasan pembalakan tersebut dan jika air tercemar mungkin disebabkan hakisan tanah akibat hujan lebat.

Bagaimanapun, beliau berkata jabatan itu telah menghantar beberapa pegawainya bagi menyiasat punca pencemaran di kolam berkenaan.

Ku Azmi turut menasihatkan penduduk terbabit agar berbincang dengan jabatannya sebelum membina kolam tadahan, bagi mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan alam sekitar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain