suria

FPDA Tumpu Pemodenan Bidang Ketenteraan - Ahmad Zahid

BUTTERWORTH: Negara anggota dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan memberi tumpuan kepada aspek pemodenan aset, peralatan dan perkhidmatan ketenteraan dalam beberapa bidang bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemodenan itu adalah sebagai persediaan untuk menghadapi masalah berkaitan keselamatan siber, keselamatan maritim, pelanunan dan rompakan laut, bantuan kemanusiaan serta bencana alam.

"Dalam keadaan aman sekarang, kami tumpukan kepada aspek permodenan bidang ketenteraan iaitu perkara berkaitan kecanggihan peralatan dan aset baru yang tidak menggunakan kaedah konvensional," katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, Rabu.

Turut hadir pada lawatan itu ialah empat lagi Menteri Pertahanan FPDA iaitu Menteri Pertahanan Australia Stephen Smith, Menteri Pertahanan New Zealand Dr Wayne Mapp, Setiausaha Pertahanan United Kingdom Philip Hammond dan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen.

Lawatan itu diadakan sempena ulangtahun ke-40 FPDA. Sambutan ulangtahun dan Mesyuarat FPDA-8 yang dihadiri oleh kelima-lima Menteri Pertahanan itu diadakan di Singapura pada Selasa. Ahmad Zahid berkata pemodenan peralatan ketenteraan itu bagi memastikan FPDA terus relavan pada masa akan datang.

Mengenai lawatan hari ini, beliau berkata ia bagi mengukuhkan hubungan antara negara berkenaan.

Dalam lawatan itu juga menteri-menteri berkenaan berpeluang melihat pertunjukan penerbangan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) Eurofighter Typhoon.

Sebelum ini Ahmad Zahid dilaporkan berkata kerajaan sedang menimbang untuk menggantikan sepenuhnya pesawat MiG-29N milik TUDM dengan pesawat tempur buatan empat buah syarikat aeroangkasa Eropah itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain