suria

Sejuta Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Dianggarkan sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara sehingga April tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk S.K. Devamany berkata, angka itu dikeluarkan Bank Dunia berikutan kajian bersama dengan Unit Perancang Ekonomi, JPM.

Menurutnya, penubuhan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) ialah langkah tepat dalam usaha menarik mereka untuk kembali berkhidmat di tanah air.

"Antara usaha TalentCorp untuk menjangkau golongan ekspatriat Malaysia yang masih bekerja di luar negara termasuk pelaksanaan program Returning Expert Programme (REP),” katanya ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) mengenai warga Malaysia berkenaan.

Katanya, bagi mereka yang masih ingin bekerja di luar negara, TalentCorp berusaha membina jaringan profesional dengan mereka untuk mengetengahkan peluang pekerjaan serta menggunakan kepakaran dan jaringan mereka di luar negara yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi negara. –BERNAMA

Artikel Lain