suria

Perompak Bersenjatakan Pistol Larikang Wang Tunai RM25,000

KUALA LUMPUR: Seorang perompak yang bersenjatakan sepucuk pistol melarikan wang tunai kira-kira RM25,000 dari sebuah bank di Jalan Saujana, Cheras pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam insiden kira-kira 3.45 petang itu, suspek yang bertopi keledar bertutup penuh, masuk ke dalam bank secara sendirian dan terus menerpa ke arah kaunter dengan mengacu pistol serta mengarahkan penjaga kaunter memasukkan wang ke dalam beg yang dibawanya.

"Suspek kemudian melarikan diri bersama wang tunai tersebut, dan kejadian berlaku secara pantas dengan mengambil masa hanya kira-kira tiga minit," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kejadian itu tidak disedari pengawal keselamatan yang kemudiannya cuba mengejar suspek selepas dia melarikan diri.

Bagaimanapun, usaha pengawal keselamatan itu tidak berjaya kerana suspek hilang di celah-celah bangunan.

Ku berkata ketika kejadian, kira-kira enam pelanggan dan pekerja bank berada di dalam premis berkenaan, bagaimanapun, kesemua mereka tidak dicederakan.

"Polis telah mengambil keterangan daripada pekerja bank dan kita akan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di bank ini untuk mengesan suspek," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - BERNAMA

Artikel Lain