suria

Pelaburan ETP RM10 Bilion Direalisasikan - Idris Jala

KUALA LUMPUR: Pelaburan bernilai kira-kira RM10 bilion di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak setahun lepas telah direalisasikan, membentuk 64 peratus daripada pelaburan berjumlah RM15 bilion yang diperuntukkan bagi tahun itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala pada Selasa.

Beliau berkata projek permulaan (EPP) juga berjalan lancar.

Sejumlah 70 daripada 131 projek EPP atau 53 peratus telahpun dimulakan.

"Oleh kerana sesetengah EPP mempunyai projek yang banyak, kami kini mempunyai 97 projek yang sedang dalam pelbagai tahap pelaksanaan," katanya pada taklimat media bersempena dengan selesainya tempoh 12 bulan pertama ETP.

ETP, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2010, disasar untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Idris Jala berkata: "Terdapat kemajuan positif selepas hanya 12 bulan." Beliau berkata dengan menumpukan kepada 12 bidang pertumbuhan utama, keyakinan sektor swasta Malaysia terhadap ekonomi tempatan juga meningkat.

"Pada separuh pertama 2011, pelaburan sektor swasta meningkat 23.4 peratus kepada RM51.2 bilion, mengatasi pelaburan awam bagi tempoh yang sama." katanya.

Idris berkata tempoh enam bulan pertama juga menyaksikan Pendapatan Negara Kasar (PNK) berjumlah RM288 bilion, 38 peratus untuk mencecah RM494 bilion yang disasarkan bagi keseluruhan tahun.

ETP juga mewujudkan kira-kira 344,000 peluang kerja bagi tempoh tersebut, 50 peratus daripada sasaran keseluruhan 684,000 peluang kerja yang akan diwujudkan tahun ini.

Dalam tempoh setahun, 131 EPP telah digariskan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi. Antara projek yang mencatatkan kemajuan adalah di bawah NKEA Pelancongan dan Outlet Premium Johor, yang akan dibuka secara besar-besaran bulan depan.

Di bawah NKEA Minyak Sawit, ketika ini terdapat 186 kilang dengan Pegawai Penguatkuasaan Kualiti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang berdedikasi, membawa kepada peningkatan Kadar Ekstrasi Minyak (OER) kepada 20.54 peratus pada September daripada 19.70 peratus.

Program Transformasi Peruncit Kecil (TUKAR), yang berada di bawah NKEA Borong dan Runcit, berjaya memberi impak kepada 343 peruncit seluruh negara, hampir dengan sasaran 500 tahun ini.

Idris berkata TUKAR telah meningkatkan pendapatan peruncit antara 30 dan 80 peratus.

Di bawah NKEA Pertanian, Infoculture Sdn Bhd, syarikat utama bagi penanaman beras wangi merancang menambah penanaman kepada 188 hektar, peningkatan 25 peratus daripada sasaran 150 hektar bagi tahun ini.

"Ini disebabkan sambutan baik orang ramai terhadap beras yang dipasarkan di bawah jenama Regenta di kedai Justlife," katanya.

Selain itu, beliau berkata Talent Corp melaporkan lebih 450 rakyat Malaysia telah kembali di bawah Program Pengembalian Pakar.

Pas Residen, peningkatan daripada Pas Pekerjaan, menyaksikan kelulusan kepada lebih 300 pemohon sejak April tahun ini, kata Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Lain