suria

Mercun: Pelajar Didenda RM2,000

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Terbuka Malaysia (OUM) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas dia mengaku bersalah memiliki sembilan jenis mercun dan bunga api.

Majistret Zaki Asyraf Zubir, menjatuhi hukuman itu terhadap P. Rajaseluan, 21, dan memerintahkan hukuman bermula pada tarikh tangkapan iaitu Khamis lepas, sehari selepas Deepavali.

Rajaseluan didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Okt, 2011 jam 8.30 malam di sebuah lorong berhampiran Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan berdepan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika merayu hukuman yang ringan, tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan, berkata dia tiada pilihan melainkan menjual mercun dan bunga api bagi menambah pendapatan untuk menyambut Deepavali selain dia juga pencari nafkah utama bagi keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala Rajaseluan tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain