suria

MCA Mahu Sastera Inggeris Jadi Subjek Wajib

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan semula Sastera Inggeris sebagai mata pelajaran wajib di sekolah dalam usaha memperkukuh penguasaan pelajar terhadap bahasa Inggeris. Mencadangkan demikian, presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata terdapat keperluan untuk menyekat kejatuhan standard bahasa Inggeris, sementara kontroversi mengenai pengajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris menunjukkan betapa perlunya langkah diambil bagi mempertingkat penguasaan anak-anak dalam bahasa Inggeris.

"MCA mengambil perhatian tentang langkah-langkah diambil Kementerian Pelajaran dalam menangani kemerosotan standard bahasa Inggeris.

"Guru-guru bersara boleh diambil semula berkhidmat oleh kerana ramai daripada mereka yang sanggup menyumbangkan kemahiran kepada negara.

"Perlu ada elaun khas bagi guru-guru yang mendaftar untuk mengajar Sastera Inggeris di sekolah menengah," kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dr Chua berkata beliau sendiri, Timbalan Presiden dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong telahpun menemui Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muyhiddin Yassin. Mesyuarat itu membincangkan kontroversi ketika ini berhubung pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, yang nampaknya telah banyak menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ibu bapa, guru dan pelajar. Dr Chua berkata MCA berpendapat harus ada garis panduan jelas yang dapat membantu menamatkan kekeliruan ini dan pelajar yang telahpun belajar dua subjek itu dalam Inggeris hendaklah dibenar meneruskannya.

"Tidak harus ada gangguan. Pendirian MCA dalam isu ini amat jelas. Kami percaya pemegang kepentingan mesti ada pilihan," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, MCA juga faham bahawa walaupun baik mendapat pilihan menggunakan Inggeris untuk belajar Matematik dan Sains, mereka telah juga diberi taklimat tentang kesukaran melaksanakannya jika ibu bapa diberikan pilihan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain