suria

Kereta Api, Lori Tangki Berlanggar: 12 Cedera Parah

KOTA KINABALU: Kereta api yang membawa seramai 200 penumpang merempuh sebuah lori tangki sehingga mengakibatkan letupan besar di Kepayan di sini.

Seramai 12 penumpang cedera parah manakala 34 lagi tidak dapat dikesan.

Kebanyakan penumpang bergegas keluar dari bahagian belakang kereta api bagi menyelamatkan diri sejurus selepas pelanggaran berlaku.

Polis telah mengesahkan tiada penumpang di dalam empat gerabak yang rosak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kereta api berkenaan merempuh bahagian tangki lori yang menampung 27,000 liter petrol yang ketika itu dalam perjalanan untuk menghantar bahan api ke sebuah stesen minyak.

The Star difahamkan terdapat sekurang-kurangnya dua penumpang yang dibawa oleh orang awam untuk bergegas ke hospital manakala enam lagi dibawa menggunakan ambulans.

Difahamkan keretapi api tersebut baru mengambil penumpang di stesen Sembulan dan Tanjung Aru di sini di mana kebanyakan mereka yang pulang dari bekerja di bandar untuk ke rumah masing-masing di pekan Papar yang terletak sejauh 45 kilometer.

Hamza berkata, polis telah menahan pemandu lori tangki berkenaan bagi siasatan manakala pemandu kereta api, Ali Ramli, 50 tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan ngeri itu berlaku selepas tujuh bulan Keretapi Sabah menjalankan perkhidmatannya semula pada 21 Februari dengan penambahbaikan secara besar-besaran menerusi trek sepanjang 134 kilometer dan set enjin diesel kereta api yang baru.

Kereta api kolonial itu merupakan satu-satunya kereta api komersial di kepulauan Borneo.

Ia beroperasi dari Kota Kinabalu ke bandar-bandar di Pantai Barat dan kawasan pedalaman di Tenom.

Sejak ia dibuka semula, terdapat beberapa kemalangan di landasan tanpa sebarang kecederaan serius sehingga berlakunya insiden pada Isnin.

Artikel Lain