suria

Isu Tapak Rizab Pendidikan​: Wee Minta Kerajaan Negeri Dan Pusat Bekerjasam​a

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Wee Ka Siong meminta kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan kementerian dalam menguruskan pembangunan pendidikan terutamanya apabila membabitkan tapak rizab pendidikan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas soalan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang membangkitkan soalan mengenai pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Long, SJKC Kajang dan SJKC Bukit Serdang yang belum mendapat kelulusan pembinaan.

Menurut Wee, kerajaan negeri mempunyai hak penuh terhadap pemilikan tanah di negeri masing-masing dan pembinaan sekolah akan menjadi lebih mudah jika kedua-dua pihak membincangkan perkara ini bersama-sama.

"Untuk kebaikan bersama, kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan pihak kementerian ...kita akan mencari penyelesaian.

"Kalau ada tanah bagi saja, buat macam kerajaan Johor yang begitu cepat memberi kelulusan pembinaan termasuk kebenaran merancang dan juga pelan bangunan," katanya.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Johor berkata modul yang diamalkan Johor bukan saja mempercepatkan proses pembinaan SJKC di negeri terbabit malah menguntungkan kedua-dua pihak.

"Johor sangat bagus. Kita baru selesai SJKC Kulai Dua menerusi dana kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). SJKC Yong Peng 2 sudah siap 98 peratus dan akan beroperasi awal tahun depan.

"Saya minta kerajaan Selangor mencontohi tindakan Menteri Besar Johor dalam perkara ini. Ini yang saya nak jelaskan supaya tak ada salah faham, jangan ada tohmahan bukan-bukan sehingga orang percaya kata-kata itu," ujarnya.

Sementara itu, Wee berkata isu pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan oleh Pakatan Rakyat bahawa kerajaan tidak membantu mereka dalam membangunkan pendidikan.

"Dua tahun lalu, kerajaan memberi lima bidang tanah kepada Selangor bernilai lebih RM30 juta untuk membina sekolah Cina dengan geran (secara langsung)...jadi tidak adil untuk menuduh demikian kepada kerajaan," katanya.

Tambah beliau, kementerian telah menyelesaikan masalah perolehan tanah dengan membenarkan dua tapak rizab pendidikan digunakan bagi tujuan pembinaan SJKC Sungai Long dan SJKC Kajang Utama.

Artikel Lain