suria

Cadangan Kursus Bahasa Malaysia Selama 6 Bulan Kepada Pembantu Rumah Asing

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang mewajibkan semua pembantu rumah asing kecuali dari Indonesia mengikuti kursus Bahasa Malaysia selama enam bulan sebelum mereka dibenar bekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, langkah itu penting kerana kebanyakan masalah berpunca daripada kurangnya keberkesanan komunikasi dan pemahaman antara majikan dan pembantu rumah. Keberkesanan komunikasi mampu mengeratkan hubungan baik selain mengelakkan permasalahan antara majikan dan pembantu rumah, katanya pada sidang media selepas menyampaikan Diploma dan Sijil kepada 6,835 penuntut pada Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa.

Beliau berkata, melalui kaedah baru itu, pembantu rumah akan didedahkan dengan asas Bahasa Malaysia yang membolehkan mereka berkomunikasi, memahami budaya, cara hidup dan undang-undang negara ini.

"Kita akan meminta semua negara pembekal pembantu rumah kecuali Indonesia mewajibkan mengikuti kursus Bahasa Malaysia. Ia dianggap sebagai penyelesaian jangka panjang dengan mengambil kira kepentingan majikan dan pembantu rumah.

Komunikasi berkesan sememangnya mengurangkan tekanan antara kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang meneliti cara pelaksananan dan pengendalian kursus Bahasa Malaysia di negara-negara pembekal pembantu rumah.

Mengenai isu pembantu rumah Kemboja Dr Subramaniam berkata kerajaan negara itu sedia menarik balik pembekuan pembantu rumah mereka dalam masa terdekat berikutan mendapati isu itu tidak serius seperti yang dilaporkan media.

"Kedua-dua pihak (Malaysia dan Kemboja) sedang berbincang mengenai satu perjanjian persefahaman sepertimana yang kita telah tandatangani dengan Indonesia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain