suria

Balkoni Sedang Diubahsuai Runtuh, Lima Pekerja Cedera

PETALING JAYA: Lima pekerja binaan rakyat tempatan cedera apabila balkoni rumah tiga tingkat yang sedang dalam pengubahsuaian di Jalan Love Lane, Kampung Baru Sungai Buloh, runtuh di sini Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harun berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, kesemua mangsa yang berusia antara 36 dan 44 tahun itu cedera selepas ada yang terjatuh selain terkena serpihan batu yang runtuh dari balkoni di tingkat dua.

"Mangsa dikenali sebagai Ah Peng, 42, Ah Hin, 36, Kuan Leong, 39, Ah Choy, 44, dan Wee Hing, 40, dan kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bomba menerima panggilan dari orang awam kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh tiba kira-kira 10 minit kemudian.

"Seramai 11 pegawai termasuk anggota bersama Unit Pengesan Anjing (K9) turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

"Beberapa mangsa yang dihempap batu dapat dikeluarkan serta-merta dan operasi menyelamat dapat diselesaikan dalam tempoh hanya lima minit," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Meor Hamdan Meor Mohamad berkata polis sedang menyemak dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan sama ada bangunan itu mendapat permit untuk dibina dan diubahsuai.

"Pada asalnya, bangunan itu dibina sebagai rumah setinggi tiga tingkat tetapi ia kini dipercayai diubahsuai untuk dijadikan asrama kecil," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, seorang saksi, M.Kumaran, 39, yang tinggal berdekatan kawasan itu, berkata dia mendengar bunyi dentuman kuat seakan guruh sebelum bergegas ke lokasi kejadian itu.

"Beberapa orang daripada mereka sedang bekerja di balkoni tingkat dua sebelum jatuh dan terhempas ke tingkat bawah apabila balkoni itu tiba-tiba retak dan runtuh.

"Saya bersama penduduk lain membantu mengangkat mereka untuk dibawa ke hospital selain memanggil pihak polis dan bomba," katanya ketika ditemui. - BERNAMA

Artikel Lain