suria

Pergerakan Global Malaysia Agenda Dalam Pernyataan CHOGM

PERTH: Pergerakan Global Malaysia bagi Agenda Kesederhanaan, satu inisiatif oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah dimasukkan dalam pernyataan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang dikeluarkan di hari terakhir mesyuarat itu di sini pada Ahad.

Najib berkata ini bermakna sebagai sebuah organisasi, sekretariat Komanwel juga perlu mendokong Pergerakan Global Kesederhanaan ini.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, beliau berkata pada dasarnya orang menyokong keseluruhan idea konsep ini.

"Kini terpulanglah kepada kita untuk mencuba memperjelaskan dalam aspek aktiviti dan program yang boleh mengukuhkan konsep ini, prinsip dan nilai-nilai berkaitan dengan Pergerakan Global Kesederhanaan," tambahnya.

Perdana menteri berkata pada hakikatnya satu seminar utama mengenai ini telah dirancang diadakan pada Januari tahun depan yang akan dihoskan oleh Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di mana para pemimpin dari seluruh dunia yang dipilih akan dijemput.

"Dan peringkat kedua ialah mengadakan institusi menjalankan banyak penyelidikan dalam aspek bagaimana kita promosikan nilai-nilai ini," kata perdana menteri.

Katanya beliau menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan perkara ini, sambil menambah ia tidak lama lagi.

Najib telah membawa Pergerakan Global bagi Agenda Kesederhanaan untuk perhatian dunia buat pertama kali di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September tahun lepas ketika Islamfobia kian meningkat.

Dalam ucaptamanya kepada PBB, beliau berkata antara lain isu sebenar bukanlah antara Muslim dan bukan Muslim tetapi antara kesederhanaan dan ekstremis semua agama, baik Islam, Kristian atau Yahudi.

Perdana menteri juga membawa isu ini di acara-acara antarabangsa seperti Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Asia-Eropah (ASEM 8) di Brussels , Belgium.

Di satu perhimpunan di Oxford University pada Mei, juga mengenai topik yang sama, Najib menyatakan bahawa beliau membantah keganasan politik dalam sebarang bentuk dan menegaskan pada kesederhanaan yang dibawa oleh semua agama.

Beliau berkata mereka yang mengambil jalan keganasan dan terbabit dengan tindakan seperti pengeboman berani mati tidak mencerminkan kepercayaan mereka. -BERNAMA

Artikel Lain