suria

Penganggur Nafi Tipu Anggota FRU

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan menipu seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membabitkan RM16,200 minggu lepas.

Lamsudidin Mohd Roos, 29, didakwa menipu Abdul Aziz Maulu di Maybank Taman Segar, Cheras, pada pukul 10.51 pagi, 23 Oktober lepas, dengan mendorong dan memperdaya Abdul Azizi agar membayar RM16,200 kononnya bagi pembelian 3.5 hektar tanah yang mana adalah tidak wujud.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir mengarahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala Lamsudidin tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain