Pemimpin Perlu Bentuk Komanwel Jadi Institusi Lebih Berkesan - Najib - Semasa | mStar

Pemimpin Perlu Bentuk Komanwel Jadi Institusi Lebih Berkesan - Najib

PERTH: Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel menamatkan mesyuarat hari ini dengan memperteguhkan tekad untuk membentuk Komanwel menjadi sebuah institusi yang lebih berkesan dan relevan, berupaya menangani cabaran-cabaran global abad ke-21 seperti jaminan bekalan makanan, perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin turut memperkukuhkan komitmen mereka terhadap nilai-nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Merumuskan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), beliau berkata daripada segi dasar-dasar, nilai-nilai dan komitmen ke arah pembaharuan, ia adalah baik.

"Tetapi seperti biasa adalah tentang bagaimana. Bagaimana kita akan melakukannya merupakan cabaran paling besar," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Perdana Menteri berkata keinginan untuk berubah memang ada, dan pemikiran terhadap masalah-masalah dunia jelas dengan semangat Komanwel terus hidup. "Keinginan untuk menjadikan Komanwel lebih relevan tertera jelas tetapi komitmen dalam pelaksanaan daripada segi sumber, tentang apakah yang boleh kita lakukan saya fikir merupakan satu perkara yang menjadi cabaran besar," kata beliau.

Persoalan yang sering dibangkitkan kebelakangan ini ialah sejauh mana relevannya Komanwel dan apakah pendirian pertubuhan ini di tengah-tengah cabaran masa kini.

Dalam pada itu, Najib berkata CHOGM merupakan "satu himpunan negara-negara yang mempunyai kepelbagaian menarik".

"Cabaran yang sering muncul adalah bagaimana hendak mendapatkan keputusan sebulat suara bagi setiap keputusan. Apabila ini timbul di kala usaha untuk mendapatkan keputusan sebulat suara, ini bermakna anda tidak akan mendapat semua yang anda mahukan," kata Perdana Menteri.

Masalah lain yang dihadapi ialah bilangan yang besar negara-negara anggota CHOGM yang dikategorikan sebagai negara pulau menyebabkan timbulnya kekangan keupayaan pembiayaan untuk melaksanakan program-program.

"Dan daripada segi ketidaktentuan global dan prospek ekonomi, dan semakin dalam lagi adalah persoalan tentang banyak manakah sumber-sumber tambahan yang boleh diberikan sesebuah negara terhadap program juga akan menjadi satu ketidaktentuan ataupun sekurang-kurangnya cabaran besar," kata beliau.

Sementara itu, dalam Pernyataan CHOGM, ketua-ketua kerajaan bersetuju untuk melantik semula Setiausaha Agung Komanwel Kamalesh Sharma untuk empat tahun penggal selanjutnya bermula April 2012.

Mereka turut memperkukuhkan keputusan untuk bermesyuarat di Sri Lanka pada 2013 dan Mauritius pada 2015 serta menyambut baik tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah mesyuarat CHOGM pada 2019.

Pemimpin dari 53 negara menghadiri CHOGM tahun ini yang bertemakan "Membangun Ketahanan Nasional, Membina Ketahanan Global", dengan sub-tema "Wanita Sebagai Agen Perubahan". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penganggur Nafi Tipu Anggota FRU

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain