suria

Pelajar Maut Motosikal Bertembung Ambulans

ALOR SETAR: Seorang pelajar tingkatan satu terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah ambulans Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang dalam perjalanan untuk mengambil seorang pesakit dekat sini pada Ahad, malam.

Kejadian berlaku di persimpangan Kampung Pokok Asam pada 8 malam tadi ketika Muhammad Mu'az Johari, 13, dipercayai dari arah Pekan Langgar tidak sempat mengelak sebuah ambulans yang sedang membelok masuk ke kampung itu untuk mengambil pesakit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata Muhammad Mu'az, dari Kampung Alor Raja, Langgar dekat sini, cedera parah di kepala selain patah kaki kanan.

"Ambulans yang membawa tiga pegawai perubatan itu kemudiannya membawa mangsa ke hospital tetapi dia meninggal dunia pukul 10 pagi tadi di HSB," katanya kepada pemberita.

Adzaman berkata pemandu serta tiga pegawai perubatan yang berada dalam ambulans itu tidak mengalami sebarang kecederaan. "Kita sudah mengambil keterangan pemandu ambulans tersebut dan sekarang ini kita menunggu bapa mangsa datang memberi keterangan," kata Adzaman.

Beliau berkata menurut keterangan yang diberi oleh pemandu ambulans berkenaan, ketika dia mahu membelok masuk ke kampung itu, semua kenderaan dari kedua-dua arah telah memberi laluan tetapi tiba-tiba sebuah motosikal datang lalu merempuh bahagian depan ambulans. - BERNAMA

Artikel Lain