suria

Pekerja TTS Hilang Di Pulau Bohey

SEMPORNA: Pasukan pencari dan penyelamat pada Isnin meneruskan gerakan mencari seorang pekerja Taman-Taman Sabah (TTS) yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas di Pulau Bohey Dulang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Mohd Razali Awang Ahmad berkata operasi mencari Aksan Lumam, 30, ditumpukan di kawasan hutan di belakang pulau tersebut.

Katanya operasi itu hanya dimulakan semalam selepas laporan kehilangan Aksan yang berasal dari Kampung Bum Bum di sini diterima pada pukul 10 pagi oleh pihak TTS.

Operasi mencari Aksan juga mendapat kerjasama daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pihak TTS, katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengikut laporan yang diterima, rakan setugas Aksan menyedari kehilangannya pada pukul 11 pagi pada hari itu setelah beliau didapati tidak berada di bilik rumah pekerja TTS di pulau itu.

Katanya selepas mangsa tidak balik ke rumah pekerja hingga petang, pihak TTS berusaha mencari mangsa tetapi gagal sehinggalah laporan dibuat.

Mohd Razali berkata pada hari kehilangan Aksan, ada penduduk kampung yang tinggal di kawasan belakang pulau itu melihat beliau mendayung sampan di perairan berdekatan kampung tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain