suria

Mahkamah Tetapkan 8 Disember Keputusan MAINPP Batalkan Kaveat

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 8 Disember ini untuk keputusan bagi permohonan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membatalkan kaveat yang dibuat oleh seorang pewaris tanah wakaf di Jalan Mengkuang, Bagan Luar, Butterworth.

Hakim Yaakob Md Sam membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding pada Isnin, pewaris tanah wakaf Muhamad Amin Abdul Rahman, 38, pembuat papan iklan diwakili peguam Raj Shanker manakala MAINPP diwakili peguam Mohd Aslam Mohd Mydin.

Terdahulu dalam hujahannya Mohd Aslam berkata MAINPP mempunyai hak untuk mengarahkan semua 14 keluarga yang tinggal di atas tanah seluas 1.1 hektar keluar dari kawasan kediaman itu bagi membolehkan projek pembinaan pangsapuri setinggi 22 tingkat dijalankan.

Mohd Aslam berkata Muhamad Amin tidak mempunyai hak untuk menghalang pembangunan itu memandangkan statusnya adalah pewaris yang menerima faedah hasil dari tanah wakaf itu.

Sementara itu Raj Shanker berkata MAINPP hanya bertindak sebagai pengurus tadbir tanah wakaf sejak 1988 dan perlu mengikut syarat yang telah ditetapkan, MAINPP juga tidak mempunyai hak untuk mengarahkan penduduk keluar atau membuat pembangunan sewenang-wenangnya.

Untuk rekod Muhamad Amin telah memfailkan tuntutan hak terhadap tanah wakaf itu di Mahkamah Syariah pada September lepas, manakala MAINPP pula telah memfailkan untuk mengusir penduduk dari tanah itu di Mahkamah Sesyen, Butterworth baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Lain