suria

Kontraktor Rogol Anak Tiri Kekal Meringkuk Di Penjara 60 Tahun

SHAH ALAM: Hasrat seorang kontraktor warga Indonesia untuk mengurangkan hukuman penjara selama 60 tahun bagi kesalahan merogol anak tirinya tidak kesampaian, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menolak rayuannya.

Hakim Noor Azian Shaari juga mengekalkan hukuman sebatan 30 kali terhadap lelaki berusia 36 tahun itu, yang berhadapan dengan tiga pertuduhan merogol mangsa yang disahkan hamil akibat perbuatan terkutuk itu.

Pada penghakimannya, Noor Azian mengutuk perbuatan lelaki itu yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga mangsa yang semasa kejadian berusia 15 tahun 11 bulan, meskipun mereka tidak mempunyai pertalian darah.

"Setelah berkahwin dengan ibu mangsa, kamu sepatutnya menjaga dia. Tetapi perbuatan kamu seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

"Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang mengatakan orang seperti ini patut dikurung dan kuncinya dibuang supaya tidak dapat keluar langsung," ujar Noor Azian.

Beliau seterusnya berkata, tidak ada keperluan untuk beliau menganggu hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini, Roszinayati Ahmad pada 30 Mac lalu selepas menerima pengakuan salah perayu.

Justeru itu, Noor Azian menolak rayuan yang difailkan perayu pada 1 April lalu yang berhasrat agar hukuman penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan yang diarahkan berjalan berasingan dapat dipertimbangkan untuk dijalankan secara serentak.

Terdahulu, perayu yang tidak diwakili peguam itu bermodalkan kesusahan keluarga dalam rayuannya, iaitu dia mempunyai ibu bapa yang sudah tua dan anak yang masih kecil di bawah jagaannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan membidas hujahan tersebut dengan berkata, perayu tidak akan melakukan kesalahan itu jika benar dia mempunyai perasaan tanggungjawab.

"Walaupun perayu telah beristeri, perayu masih tegar menggunakan mangsa untuk memuaskan nafsunya. Perayu juga telah mengugut mangsa bahawa dia akan dibunuh jika memberitahu orang lain tentang pelakuannya," tambah Wan Zuraida.

Dalam kes ini, lelaki tersebut didakwa merogol mangsa dalam tiga kejadian yang berlainan, iaitu pada 15 Ogos 2009, Oktober 2009 dan Januari 2010 di rumah mereka di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya.

Kejadian pertama berlaku di bilik tidur mangsa pada pukul 11 malam, manakala kejadian terakhir berlaku pada pukul 12.05 tengah malam, iaitu semasa ibu dan adik-adik mangsa sedang tidur.

Kejadian kedua berlaku pada pukul 9 pagi, semasa mangsa berada di rumah kerana menjaga adiknya yang berusia enam bulan.

Perbuatan perayu terbongkar selepas mangsa yang mengadu sakit perut kepada ibu audaranya dibawa berurut. Mangsa dimaklumkan telah hamil dan pemeriksaan di Hospital Ampang mengesahkan semasa itu, mangsa telah hamil empat bulan. Semasa prosiding mahkamah berjalan, kandungan mangsa telah mencecah tujuh bulan dan mangsa kemudiannya dibawa berpindah ke Segamat, Johor.

Artikel Lain