suria

Kediaman Terbakar: Tiga Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

DUNGUN: Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman mereka masing-masing musnah dalam kebakaran di Kampung Alur Tembesu, dekat sini, malam Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam Ahad melibatkan tiga buah rumah papan dan sebuah motosikal turut hangus dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba Dungun, Nor Azizi Che Noh berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 9.48 malam dan tiba tiga minit kemudian selepas menerima laporan.

Katanya kejadian dipercayai berpunca daripada salah sebuah rumah yang kemudiannya merebak ke rumah-rumah lain dan kebakaran itu menyebabkan 100 peratus kediaman itu musnah.

"Setibanya di tempat kejadian api telah marak dan merebak ke ketiga-tiga rumah terbabit dan pihak kami berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah lagi rumah," katanya. Menurutnya 10 anggota bomba dan penyelamat dengan dibantu dua jentera mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran.

"Kita terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengawal kebakaran kerana terdapat masalah air di mana kuantiti air tidak mencukupi. Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu salah seorang mangsa, Rosli Yusof, 44, berkata, ketika kejadian beliau serta isteri dan tiga anaknya tiada di rumah kerana sedang membeli barangan untuk perniagaan isterinya di sebuah pasar raya di bandar ini.

Katanya api dikatakan berpunca dari rumahnya yang terletak di tengah antara dua buah rumah jirannya itu dan dia bagaimanapun tidak mengetahui daripada mana punca kejadian itu berlaku.

"Isteri menerima panggilan daripada seorang jiran yang memaklumkan rumah kami terbakar dan dalam keadaan kelam kabut dan cemas, kami segera pulang ke rumah.

"Ketika memandu pulang, hati saya semakin berdebar apabila dapat melihat kepulan asap tebal dari arah kediaman kami dan sebaik sampai di kawasan rumah, api telah marak membakar ketiga-tiga buah rumah saya dan jiran," katanya.

Menurutnya, dia gagal menyelamatkan sebuah motosikal miliknya termasuk wang tunai sebanyak RM500 serta barangan kemas milik isterinya yang musnah dalam kebakaran itu. -BERNAMA

Artikel Lain