suria

AUKU: Tim. Menteri Pelajaran Alu-Alukan Keputusan Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terlibat dalam kempen pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Menurut Wee, mahkamah menolak kes berkenaan memandangkan di bawah Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang melarang penuntut universiti menyertai politik itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta menyekat kebebasan bersuara pelajar.

"Keputusan itu menunjukkan sistem kehakiman negara adalah bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

"Hakikatnya, mahasiswa berusia 19 hingga 20 tahun akan berdaftar sebagai pengundi tidak lama lagi. Mereka ada hak untuk mengundi dan menyokong mana parti yang mereka suka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pada Isnin.

Sehubungan itu, Wee amat menghormati keputusan tersebut memandangkan ia sudah lama diperjuangkan pemuda Umno dan MCA khususnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, akta tersebut lebih banyak memberi kesan negatif kepada pelajar terutamanya dalam persediaan mereka untuk aktif dalam politik.

"Saya minta pentadbir universiti supaya meneliti implikasi daripada keputusan ini supaya mengambil tindakan untuk membuat pengubahsuaian sebelum terlambat," katanya.

Azan berkata, keputusan itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada universiti-universiti untuk memperbetulkan semula kelonggaran dalam AUKU.

Keputusan bersejarah itu sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat mahasiswa tersebut mencabar peruntukan 15(5)(a) AUKU.

Artikel Lain