suria

Wanita Digalak Ambil Peluang Lakukan Saringan Barah Payudara Percuma

KUALA LUMPUR: Kaum wanita di Malaysia hendaklah menggunakan sepenuhnya peluang perkhidmatan saringan barah payudara yang dilakukan secara percuma oleh pelbagai pertubuhan termasuk sektor swasta, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada Sabtu.

Beliau berkata mereka juga harus mempelajari teknik pemeriksaan payudara bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya jika mensyaki mempunyai simptom penyakit yang boleh membawa maut itu.

"Menurut statistik, 32 peratus pesakit di kalangan wanita adalah penghidap barah payudara, diikuti kolorektal (10 peratus), servik (8.4 peratus), ovari (6.5 peratus) dan paru-paru (5.4 peratus)," kata beliau semasa merasmikan kempen Amal Barah Payudara Softlan di sini.

Rosnah berkata kementerian menyarankan tiga langkah mudah bagi wanita untuk memantau kesihatan payudara mereka dengan melihat, merasai dan bertindak.

Katanya langkah melihat dan merasai boleh dilakukan dengan pemeriksaan sendiri iaitu belajar bagaimana mengenal pasti tanda-tanda permulaan kanser payu dara manakala bertindak dengan mengetahui apakah simptom barah itu dan tahu di mana hendak mendapatkan bantuan.

Mengenai kempen berkenaan, Rosnah memuji sumbangan pihak penganjur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan pengesanan awal barah payudara. Kempen itu dianjurkan bersama Colgate-Palmolive Sdn Bhd, Majlis Kanser Negara (MAKNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCM) dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Sementara itu, Rosnah dalam satu acara berasingan meminta masyarakat memandang serius terhadap peratusan kes kematian akibat sakit jantung di negara ini.

"Statistik menunjukkan bahawa kematian akibat sakit jantung merupakan 25.4 peratus daripada jumlah kematian di hospital kerajaan tahun lepas meningkat daripada 16 peratus pada 2009," katanya ketika merasmikan seminar Promosi Jantungku, Kesihatanku anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini.

Beliau berhadap menerusi penganjuran seminar itu pakar kesihatan jantung, pakat dietetik and kesihatan umum akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit jantung termasuk kaedah perubatan dan rawatannya. - BERNAMA

Artikel Lain