suria

Kementerian Sumber Manusia Pertingkat Program Dwilatihan Nasional

SEGAMAT: Program dwilatihan nasional untuk membantu pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan biasa akan dipertingkatkan untuk memastikan program tersebut berjaya memberi kemahiran kepada golongan sasar.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, antara pembaharuan yang akan dibuat ialah meningkatkan bayaran kepada institut dan majikan yang dipilih bagi menjayakan program tersebut.

"Kita berharap melalui perubahan yang dibuat, sasaran untuk meningkatkan kemahiran golongan ini dapat dipertingkatkan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Deepavali di Sekolah Kebangsaan Seri Kenangan, Batu Anam di sini malam tadi.

Subramaniam yang juga anggota Parlimen Segamat dan Timbalan Presiden MIC berkata demikian ketika diminta mengulas teguran dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 yang tidak berpuas hati dengan pencapaian program tersebut.

Menurut beliau, di bawah program tersebut, pelajar diberi peluang sekali lagi melalui sistem printis untuk mendapat latihan kemahiran sama ada di institut kemahiran dan di tempat kerja bagi membolehkan mereka mendapat kerja.

"Walaupun tidak di peringkat tertinggi dan ia hanya di peringkat permulaan, tetapi ia merupakan pintu masuk untuk meningkatkan bidang kerjaya mereka pada masa hadapan," katanya.

Mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meneruskan piket pada 3 Nov ini bagi membantah cadangan pindaan Akta Kerja 1955, Subramaniam melahirkan rasa sedih terhadap tindakan kesatuan tersebut.

"Saya telah beberapa kali memberi penjelasan tentang cadangan ini termasuk semasa menggulung perbahasan di Parlimen baru-baru ini dan saya juga telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin MTUC peringkat tinggi minggu lalu.

"Mereka telah bersetuju dengan cadangan saya supaya diwujudkan sebuah jawatankuasa membabitkan kerajaan, majikan dan pekerja untuk menentukan hak pekerja terbela," katanya.

Subramaniam berkata, perkara ini telah dipraktikkan di kebanyakan negara dan telah berjaya menyelesaikan masalah antara pekerja dan majikan.

Katanya tujuan kerajaan meminda akta itu adalah murni iaitu untuk memastikan hak pekerja terjamin dan terkawal dan mereka tidak lagi berada dalam kesulitan. - BERNAMA

Artikel Lain