suria

Jheains, Jakim, NGO Islam Perlu Bekerjasama Tingkat Syiar Islam

SEMPORNA: Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu saling melengkapi dalam usaha meningkatkan syiar Islam di Sabah.

Beliau berkata setiap badan itu yang mempunyai peranan dan kekuatan tersendiri perlu sentiasa bekerjasama bagi mencapai matlamat yang sama iaitu membangunkan umat Islam.

"Jheains adalah agensi kerajaan yang berperanan menyediakan prasarana untuk kegunaan umat Islam termasuklah surau, masjid, madrasah dan sebagainya. Jakim pula mempunyai dana untuk membantu Jheains bagi menambah tenaga-tenaga imam.

"Manakala Jakim mempunyai dana untuk melantik imam-imam rawatib, guru takmir, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Kita rasakan ini sangat baik sekali kerana mereka saling bantu membantu," kata Nasir yang bertanggungjawab bagi portfolio Hal Ehwal Islam di Sabah.

Nasir berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai peranan agensi kerajaan dan NGO Islam yang perlu dimainkan dalam memperkukuh syiar dan dakwah Islam di Sabah.

Katanya beliau selaku pengerusi jawatankuasa penyelarasan agensi-agensi agama Islam di peringkat negeri, sentiasa mengambil tahu peranan agensi-agensi itu termasuk NGO Islam.

Sehubungan itu, Nasir meminta semua agensi kerajaan yang berkaitan dengan Islam dan NGO Islam di Sabah supaya terus mengukuhkan kerjasama sesama mereka untuk memperbaiki kehidupan dan meningkatkan perpaduan umat Islam. - BERNAMA

Artikel Lain