suria

Harga Barang 10 Peratus Lebih Rendah Di Pasar Tani Fama Sempena Aidiladha

KUALA TERENGGANU: Sempena Aidiladha, harga barang di Pasar Tani Fama terpilih di negeri ini akan dijual pada kadar 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Pengarah Fama Terengganu Hasan Jusoh berkata antara pasar tani itu ialah Pasar Tani Mega di Padang Hiliran di sini pada 3 dan 5 Nov, Pasar Tani Mega Kerteh (Kemaman) pada 4 Nov dan Pasar Tani Jertih (Besut) pada 3 Nov.

"Sebelum ini Fama juga mengadakan program jualan terus sempena perayaan Deepavali pada 25 Okt lepas di Pasar Tani Mega Padang Hiliran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya langkah itu diambil bertujuan membantu orang ramai mengurangkan kos membeli barangan dan mendapat bekalan yang cukup untuk musim perayaan serta memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang.

"Ia juga membantu kerajaan menangani isu kenaikan harga barang semasa musim perayaan dan juga bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup rakyat," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Pasar Tani Fama di seluruh Terengganu mampu menghasilkan nilai jualan kira-kira RM16.8 juta.

"Fama Terengganu mensasarkan nilaian jualan dari pasar tani seluruh negeri sepanjang tahun ini mencapai sehingga RM22.5 juta," katanya.

Hasan berkata, Fama Terengganu juga berjaya memenuhi sasaran untuk menambah 200 usahawan pasar tani baru sehingga akhir tahun ini, apabila berjaya melahirkan 231 usahawan pasar tani baru sehingga September lalu.

Katanya, daerah Besut mencatatkan usahawan pasar tani seramai 299 usahawan, diikuti Kemaman (170 usahawan), Kuala Terengganu (155 usahawan), daerah Hulu Terengganu (132 usahawan), Dungun (120 usahawan) dan Marang (45 usahawan) yang kesemuanya berjumlah 921 usahawan. - BERNAMA

Artikel Lain