suria

Gerakan Sokong Tindakan Terhadap Penyelewengan Dalam Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan menyokong sebarang tindakan tegas yang akan diambil kerajaan untuk mengatasi penyelewengan dan ketirisan yang didedahkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru ini, kata Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Menurut beliau semua salah laku dan penyelewengan yang didedahkan di dalam laporan itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk menjadi lebih telus kerana kesalahan yang berlaku sepatutnya didedahkan bukan disembunyikan supaya siasatan dapat dijalankan.

"Kami merayulah supaya tindakan siasatan oleh badan-badan berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendaklah disegerakan terutamanya bagi kes-kes begitu nyata bahawa harga yang dibayar atau peruntukan yang dibelanjakan jauh melebihi harga pasaran.

"Perkara ini kini menjadi buah mulut orang ramai di merata-rata tempat dan tindakan segera haruslah diambil," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Rumah Terbuka Deepavali Parti Gerakan di Menara PGRM di Cheras dekat sini Ahad.

Koh turut mengambil contoh pendedahan di Jabatan Taman Laut Malaysia yang mana harga kontrak pembelian sebuah binokular marin (penglihatan malam) didapati 2,805 peratus lebih mahal berbanding harga pasaran yang turut dimuatkan dalam laporan itu.

Laporan itu mendedahkan barangan itu, yang harga pasarannya RM1,940, telah dibeli pada harga RM56,350 sebuah.

Koh berkata pendedahan itu amat mengejutkan terutamanya di pihak orang ramai dan tindakan segera oleh kerajaan akan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memerangi penyelewengan dan juga rasuah.

"Pendirian kami adalah jelas dan tegas supaya perkara seumpama ini tidak diulangi lagi, tetapi kejadian sudah pun berlaku tetapi laporan itu turut memberitahu bahawa prestasi kerajaan pada amnya telah meningkat tetapi kes penyelewengan masih ada," katanya.

Pada majlis Rumah Terbuka itu, kira-kira 3,000 orang hadir terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum meraikan Deepavali bersama-sama dengan Koh dan Naib Presiden Gerakan A. Kohillan Pillay di bangunan ibu pejabat parti itu.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian India pelbagai irama selain para pengunjung disajikan jamuan bertemakan makanan popular kaum itu yang diadakan di Dewan Wawasan. - BERNAMA

Artikel Lain