suria

Projek Feedlot Nasional Gagal Kerana Pengusaha Tiada Pengetahuan Asas

PENDANG: Kegagalan projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini disebabkan kegagalan pengusaha tempatan melaksanakan projek tersebut dengan baik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, kegagalan projek ternakan lembu feedlot tersebut disebabkan rata-rata pengusaha tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang pertanian.

Justeru itu, beliau meminta graduan yang memiliki diploma dan ijazah dalam bidang pertanian menceburkan diri dalam industri pertanian bagi membolehkan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita lihat ramai graduan tidak mahu bekerja di sektor pertanian kerana beranggapan pertanian ini miskin, kerja teruk dan kotor tetapi mereka tidak tahu sebenarnya bidang tersebut mempunyai hasil pulangan yang banyak.

"Mereka perlu ubah gaya pemikiran mereka agar dapat menceburi bidang pertanian bagi membolehkan ilmu yang dipelajari semasa di universiti dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang tersebut," katanya pada sidang media selepas "Program Konvoi Bersamamu Datuk Jo" di Kampung Palas, Tobiar, dekat sini.

Mohd Johari berkata, beliau melihat projek ikan talapia diusahakan oleh sebuah syarikat di China yang dibangunkan selama 10 tahun berjaya mengeksport produk mereka ke luar negara sehingga mencecah RM1 bilion setahun.

Katanya, kejayaan mereka disebabkan mereka memiliki pekerja daripada graduan dalam bidang akuakultur, dan mereka juga turut mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri.

"Mereka juga boleh tentukan harga pasaran produk mereka kepada negara luar yang berminat untuk membelinya," katanya.

Beliau menyarankan Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya bekerjasama dengan agensi pertanian di negara ini bagi membolehkan pelajarnya banyak melakukan latihan praktikal bersama petani.

Terdahulu itu, Mohd Johari, yang Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, bersama kira-kira 500 Pemuda Umno Kubang Pasu berkonvoi dengan motosikal dari pekan Jitra ke Kampung Palas, Tobiar sejauh 40 kilometer bagi mengeratkan lagi hubungan antara Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu dan Pendang.

Katanya, melalui program ini juga kepimpinan Umno juga dapat menyelami isi hati dan apa yang diperlukan agar mereka agar tidak tersasar dengan matlamat yang dibawa oleh pemimpin negara terutama menjelang 2020.

Artikel Sebelum

Artikel Lain