suria

Pakar Sarankan K'jaan Kaji Semula Tarif Air

KUALA LUMPUR: Forum mengenai air yang berlangsung di sini pada Jumaat telah menyarankan agar kerajaan mengkaji semula tarif sumber itu kerana kadar sedia ada tidak lestari, khususnya dalam menangani masalah pembaziran air.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Datuk Dr Ir Zaini Ujang berkata, sehubungan itu, satu pendekatan baru perlu digunakan dalam mencari kadar tarif baru yang wajar.

"Namun, tarif baru itu mestilah tidak membebankan rakyat dan menjadikan pembangunan sumber air lebih terancang.

"Ini demi memastikan bekalan dan sumber air dapat dibangunkan dengan lebih efektif dan lestari, selain meningkatkan kualiti dan kuantiti air negara," katanya kepada pemberita selepas Forum 'Water Has No Value' di kampus UTM di sini.

Forum pertama anjuran bersama UTM dan Persatuan Air Malaysia (MWA) itu khusus bagi membincangkan isu berkaitan air dan penyelesaiannya, disertai kira-kira 200 orang.

Pada forum itu, Zaini bertindak sebagai moderator manakala panel terdiri daripada Felo Kanan Akademi Sains Malaysia Tan Sri Ir Shahrizaila Abdullah, bekas Presiden MWA Datuk Wan Ngah Wan Ali, Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Ir Jaseni Maidinsa, pemerhati Air Pulau Pinang Profesor Chan Ngai Weng dan wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata kerajaan juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai tarif baru bagi memastikan mereka memahami kewajarannya.

Selain itu, katanya, forum berkenaan memutuskan agar ahli politik tidak menjadikan isu air sebagai senjata dan permasalahannya harus dilihat secara holistik, selain sistem pengurusan bekalan masa kini ditukar kepada sistem pengurusan permintaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain