suria

Jenazah Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar Selamat Dikebumikan

PARIT BUNTAR: Jenazah Ketua Umno Bahagian Parit Buntar Datuk Abdul Raman Suliman, 62, yang meninggal dunia di Hospital Daerah Parit Buntar di sini malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedah tengah hari Sabtu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, bekas Timbalan Menteri Pertanian Datuk Mohd Shariff Omar dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman adalah antara yang menziarahi jenazah Allahyarham.

Abdul Raman yang menghidap sakit buah pinggang disahkan meninggal dunia pada 12.20 tengah malam tadi, kira-kira sejam selepas terjatuh di rumahnya di Kampung Kedah.

Pembantu beliau, Mohd Jamil Yahaya berkata Allahyarham ditemui terbaring di dalam bilik air rumahnya oleh isteri Datin Saemah Hussein yang kemudian membawa beliau ke hospital.

Kejadian berlaku sejurus selepas Abdul Raman yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kembali daripada menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak di Ipoh.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain