suria

Enam Termasuk Warga Asing Ditahan Bersama Dadah

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang warga Iran dan seorang wanita China yang dipercayai anggota sindiket dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM613,500 dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara sejak Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumopur, ACP Kang Chez Chiang berkata pada serbuan pertama Isnin lalu, polis telah menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 25 tahun di hadapan sebuah pasar raya di Sentul di sini.

Katanya, sejumlah 2,200 biji pil Eramin 5, tiga paket heroin seberat 229.74 gram, tiga paket kokain seberat 3.21 gram, 13 biji pil Ecstasy dan empat biji pil psikotropik dirampas dengan kesemuanya bernilai RM55,000.

Bercakap pada sidang media, Kang berkata suspek berkenaan dipercayai aktif mengedar bekalan dadah ke pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Kedua-dua lelaki berkenaan diapati positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan awal mendapati salah seorang dari suspek itu mempunyai sabitan kes pecah rumah, katanya.

Kang berkata, pada serbuan kedua di sebuah hotel mewah di Brickfields, Selasa lalu, polis menahan seorang lelaki Iran dan merampas 2.5 kilogram serbuk putih dipercayai kokain dalam enam paket lutsinar.

"Nilai dadah tersebut adalah RM500,000 mengikut harga pasaran dan dadah itu dipercayai dihantar dari luar negara melalui perkhidmatan kurier," katanya.

Kata beliau, dengan tangkapan itu, polis percaya telah melumpuhkan sebuah sindiket dadah antarabangsa yang aktif di Lembah Klang yang didalangi oleh warga Iran.

Dalam pada itu, pada serbuan pukul 9.30 pagi semalam di Kuchai Lama, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China dan merampas dadah bernilai RM58,500.

Kang berkata, polis merampas 1,449 biji pil Ecstacy yang disembunyikan dalam tiga paket kacang, 2.2 gram kokain dan lima pil Eramin 5. Selain itu, katanya, polis menemui wang tunai RM6,855 dipercayai hasil jualan dadah, lima telefon bimbit, alat timbang digital, alat pembungkusan dan sebuah iPad.

Katanya, wanita berkenaan masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan pelancong manakala dua suspek warga tempatan itu didapati positif dadah methamphetamine dan amphetamine.

Kang menambah, kesemua suspek dari tiga serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan kesemua mereka ditahan reman mulai Selasa lalu hingga 1 November ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain