SPR Cadang Benarkan Beberapa Sektor Undi Awal - Semasa | mStar

SPR Cadang Benarkan Beberapa Sektor Undi Awal

IPOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain seperti pengunaan dakwat kekal atau biometrik.

Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Taklimat PRU-13 kepada 24 Pegawai Pengurus dan 105 Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi negeri ini di sini, Jumaat.

Abdul Aziz berkata jika sempat kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan pada PRU-13.

"Kita faham ada beberapa kumpulan media yang tidak dapat pergi mengundi kerana tugas, jadi adakah kita nak biarkan begini? Oleh itu, kita fikir patut buat perubahan supaya mereka ini mengundi pos atau mengundi awal, cadangan ini akan dibawa ke dalam jawatankuasa berkenaan nanti.

"Sebenarnya, bukan saja media tetapi juga petugas di pesawat seperti pramugari dan pramugara, jururawat dan petugas di pelantar minyak," katanya.

Beliau berkata SPR sedang menjalankan kajian berkenaan cadangan-cadangan itu sama ada sesuai dilaksanakan tetapi ia bergantung kepada pindaan peraturan dan undang-undang.

Abdul Aziz berkata cadangan itu turut membabitkan petugas SPR yang akan diberi pilihan sama ada mahu mengundi awal atau pada hari mengundi sebenar.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan juga akan membincangkan pelbagai perkara lain seperti peraturan terbaik semasa proses penamaan calon, kempen dan hari mengundi supaya tidak menimbulkan masalah.

Jawatankuasa berkenaan, katanya, telah diberi masa enam bulan iaitu hingga April ini untuk mengemukakan cadangan penuh tetapi ia boleh mengemukakan cadangan sementara kepada SPR atau meminta melanjutkan tempoh itu jika perlu.

Mengenai taklimat berkenaan, Abdul Aziz berkata Perak adalah negeri ketiga taklimat diadakan selepas Selangor dan Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata penganjuran taklimat itu bukan petanda PRU-13 akan diadakan dalam masa terdekat, apa yang pasti pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya 28 Jun 2013 iaitu selepas tarikh terbubarnya Dewan Rakyat secara automatik pada 28 April tahun sama.

Berucap sebelum itu, Abdul Aziz berkata sebanyak 20,924 petugas akan terbabit dalam PRU-13 di Perak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain