suria

Sektor Kewangan Asia Punya Prospek Hebat: Pakar

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan Asia mempunyai prospek yang cemerlang berikutan faktor demografi yang baik, simpanan yang tinggi, pertumbuhan meningkat dan akses kepada teknologi dan modal.

Tan Sri Andrew Sheng, Presiden Fung Global Institute dan anggota lembaga Khazanah Nasional Bhd, berkata krisis kewangan semasa mencetuskan kajian semula asas infrastruktur dan susunan kewangan antarabangsa.

Pasca krisis, negara-negara maju akan menyaksikan pertumbuhan yang perlahan manakala yang pasaran baru muncul, terutamanya Asia, dijangka berkembang kukuh, katanya pada Persidangan CIMB Asean 2011 di sini Khamis.

Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan senario 'Abad Asia' di mana bahagian Asia daripada KDNK global boleh berganda sebanyak 51 peratus, mengembalikan susunan ekonomi dunia kepada sebelum Revolusi Perindustrian kira-kira 250 tahun lalu.

Menjelang 2050, dianggarkan Asia akan mempunyai separuh daripada aset kewangan global dengan pusat-pusat kewangan utama terletak di Asia.

"Dengan itu, sekurang-kurangnya tiga mata wang Asia akan global, Yen, RMB dan Rupee. Ini akan mempunyai kesan yang besar kepada ekonomi dan perniagaan Asia. Asia akan menjadi rakan kongsi dalam menentukan harga global dan membuat peraturan," katanya. Sheng berkata prospek ini telah membangkitkan isu sama ada Asia boleh "sendirian" dengan "nyahgandingan".

"Dalam jangka pendek, ia tidak mungkin tetapi boleh dilakukan dalam jangka panjang dengan syarat kita mengintegrasikan dan membangunkan keupayaan dalaman kita," kata beliau.

Prospek untuk nyahgandingan bergantung kepada beberapa faktor penting seperti menjana enjin pertumbuhan dan penggunaan domestik, mewujudkan kepimpinan pemikir sendiri, menaik taraf tadbir urus serantau dan penginstitusian serta integrasi selanjutnya dalam ekonomi dan kewangan.

"Ekonomi Asia juga perlu mencari keseimbangan yang tepat antara negara dan pasaran. Model Barat "pasaran sentiasa betul" telah gagal dalam krisis kewangan dan fiskal sekarang ini. Model Asia dengan campur tangan kerajaan banyak telah diimbangi Asia dari kejutan pasaran yang paling teruk, tetapi terlebih perancangan, terlebih peraturan dan keluar dari kesesakan juga boleh menjejaskan pertumbuhan," katanya.

Asean sebagai satu kumpulan, penting di kalangan negara besar seperti China dan India tetapi banyak daripadanya bergantung kepada kualiti tadbir urus, kata beliau.

Sheng berkata pada masa ini, terdapat saling hubungan di peringkat kerajaan dalam Asean tetapi pada peringkat perniagaan ke perniagaan (B kepada B) dan peringkat pengguna/ masyarakat sivil, ia tidak mendapat momentum.

"Jika Asean mahu berkembang, B kepada B adalah cara yang betul. Kerana jika Asean tidak berkembang pada kelajuan yang sama seperti yang lain, kita akan menghadapi dengan langkah terpinggir," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain