Sebutan Semula Umno Saman PAS Ditetapkan November - Semasa | mStar

Sebutan Semula Umno Saman PAS Ditetapkan November

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes saman bernilai RM10 juta yang difailkan oleh Umno Selangor terhadap tiga pemimpin tertinggi Pas atas dakwaan memfitnah parti itu dalam artikel berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU).

Timbalan Pendaftar, Sara Zuriati Zaharifudin menetapkan tarikh itu pada Selasa, dan peguam Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Umno memberitahu, semua defendan yang dinamakan dalam saman terbabit diarahkan untuk memfailkan pembelaan sebelum tarikh tersebut.

Pada 14 September lalu, Umno Selangor yang diwakili oleh Setiausaha Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed memfailkan saman tersebut dengan menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali selaku defendan pertama kerana mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah parti itu di dalam akhbar Harakah.

Mohd Zin selaku plaintif turut menamakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Muhammad Sabu sebagai defendan diikuti pencetak, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd yang merupakan pencetak akhbar milik PAS, Harakah.

Selain itu, turut dinamakan sebagai defendan ialah penyunting Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan akhbar terbabit, Khairul Azlam Mohamad yang bertanggungjawab menulis berita bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi JAIS' yang disiarkan dalam edisi bertarikh 19 hingga 21 Ogos lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Mustafa telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah wadah dan perjuangan politik plaintif semasa ditemuramah oleh Khairul Azlam pada 15 Ogos lalu dengan mengetahui bahawa kenyataan itu akan disiarkan di dalam Harakah.

Dakwa plaintif, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa Umno memainkan peranan penting dalam serbuan tersebut dan seolah-olah 'mengawal pentadbiran' JAIS yang merupakan agensi kerajaan di bawah kawalan Kerajaan Negeri Selangor.

Seterusnya, plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh defendan pertama juga membawa maksud Umno mengamalkan dasar politik yang kotor dan sempit serta boleh mengarah-arahkan mana-mana agensi kerajaan, pegawai atau agensi untuk membuat sesuatu tindakan atau keputusan atas arahan pihak luar dan membelakangkan undang-undang dan peraturan agensi terbabit.

Plaintif juga mendakwa, kenyataan itu boleh membawa maksud bahawa plaintif telah terlibat dalam rasuah salah guna kuasa, tidak boleh dipercayai, dalang dalam mencetuskan ketegangan antara Islam dengan bukan Islam serta JAIS adalah kuda tunggangan plaintif dalam mencapai objektif tersebut.

Oleh itu, plaintif mendakwa penerbitan kata-kata fitnah tersebut telah menyebabkan merosakkan reputasi mereka dan membawa kehinaan dan keaiban yang akan berlangsung selama bertahun-tahun kerana penerbitan dan pengedaran Harakah yang meluas.

Dakwa plaintif lagi, defendan pertama juga tidak mengendahkan dan mengabaikan surat plaintif bertarikh 25 Ogos lalu yang menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat dan pampasan sebanyak RM10 juta kepada plaintif.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap defendan termasuk ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan, faedah pada kadar 4 peratus setahun yang mula dibayar dari tarikh keputusan sehingga pembayaran penuh serta perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama atau ejennya untuk meneruskan kenyataan fitnah tersebut,

Plaintif juga menuntut defendan pertama untuk menerbitkan permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di surat khabar dan majalah dalam istilah yang ditetapkan oleh plaintif serta defendan dimohon untuk menjelaskan kos mahkamah.

Sementara itu, Hafarizam ketika ditemui memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 28 September ini sebagai pengurusan saman tersebut.

Pada 3 Ogos lalu, JAIS membuat serbuan ke atas gereja terbabit selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam yang menghadiri majlis yang diadakan di situ.

Media juga melaporkan, serbuan yang diadakan pada pukul 9 malam turut mendapati seseorang sedang berucap dengan menyelitkan perkataan al-Quran dan terdapat percubaan untuk memurtadkan umat Islam.

Artikel Sebelum

Projek Naik Taraf PIA Siap 54 Peratus

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain