suria

Perjuangan Malaysia Dalam ITU Dapat Perhatian Antarabangsa:Rais

GENEVA: Isu mengenai media sosial mendapat perhatian pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Jalur Lebar yang diadakan sempena persidangan "Telecom World" anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di sini.

Malaysia yang diwakili oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim telah mengemukakan pendirian negara berhubung perkara itu pada persidangan yang berlangsung selama empat hari sejak Isnin lepas.

Semalam merupakan hari terakhir persidangan itu diadakan yang bertujuan memberikan khidmat kepada masyarakat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global dengan "perancangan hala tuju, merangsang program perdebatan, bengkel-bengkel, pameran teknologi baharu dan pelbagai peluang bagi rangkaian dan perkongsian pengetahuan."

ITU adalah agensi khusus bagi ICT Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Rais dalam jawapannya pada sidang pleno mengenai media sosial, telah menyatakan mengenai pentingnya kebebasan media sosial diimbangi dengan nilai-nilai positif kemanusiaan.

Dalam perbincangan selama lebih sejam itu yang dihadiri ahli panel negara lain, beliau telah menekankan peranan media sosial yang perlu membawa kebaikan kepada manusia dan bukan sekadar berpaksikan "pada kegemilangan dan tarikan untuk mencipta gelombang perubahan". Rais berkata media sosial perlu mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat serta beroperasi mengikut undang-undang dan hak asasi individu.

Sebelum itu, semasa bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Pavilion Malaysia pada Selasa, Rais berkata perjuangan dan penglibatan Malaysia dalam forum anjuran ITU, telah mendapat penghargaan dan perhatian masyarakat antarabangsa.

Katanya penghargaan itu diberikan berdasarkan kesungguhan Malaysia untuk mengemukakan prinsipnya terutama berhubung media sosial.

"Walaupun pihak lain menyatakan semuanya baik berhubung media sosial, tetapi Malaysia mempunyai beberapa pengecualian berhubung perkara itu," katanya.

Misalnya, kata Rais, ialah isu berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang terhadap media sosial yang perlu mempunyai rasa tanggungjawab, kedua, urusan kerjasama yang boleh dilaksanakan dengan ITU dan anggota di bawah payung ITU, dan ketiga, berkaitan generasi muda yang perlu dikaitkan dengan media sosial tetapi secara yang boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa dengan tidak menggadaikan nilai-nilai dan budaya asas sesebuah negara. - BERNAMA

Artikel Lain