suria

Perjalanan Ke Bangkok Belum Dibatalkan:Matta

KUALA LUMPUR: Tiada penerbangan melalui syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Thai Airways dari Kuala Lumpur ke Bangkok dibatalkan berikutan banjir di Thailand, kata Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

"Daripada maklumbalas yang kami terima daripada ahli-ahli, tiada pembatalan setakat ini," kata Naib Presiden Outbound Matta Jeffri Sulaiman ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan penerbangan ke Bangkok perlu ditangguh sekiranya terdapat nasihat perjalanan dikeluarkan Wisma Putra.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, syarikat-syarikat penerbangan berkenaan menyediakan pilihan untuk penumpang yang terlibat sekiranya berlaku penangguhan.

MAS umpamanya tidak akan mengenakan penalti jika pemegang tiket ingin pembayaran balik tetapi ia perlu dibuat sebelum 15 Nov ini, katanya.

Syarikat penerbangan Thai Airways pula tidak menyatakan sama ada pengembalian wang boleh dilakukan namun membenarkan penumbang menukar destinasi ke mana-mana sektor di Thailand, katanya.

Pemegang tiket AirAsia pula tidak akan dikembalikan wang (refund) tetapi boleh menukar tarikh penerbangan dalam tempoh tiga bulan, katanya.

Penerbangan MAS, AirAsia dan Thai Airways dari Kuala Lumpur melalui pintu masuk antarabangsa utama negara itu iaitu Lapangan Terbang Suvarnabhumi, yang dilapor tidak terjejas dengan banjir.

Lapangan Terbang Don Muang sebelum ini dilapor ditutup selepas landasannya dinaiki air mengakibatkan kebanyakan penerbangan yang menggunakan lapangan terbang kedua terbesar di Bangkok itu ditunda.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand dilapor masih dilanda banjir, yang menjejaskan kehidupan 2.4 juta penduduk di lebih 10,000 kampung di 26 wilayah di bahagian utara dan tengah negara itu.

Bencana alam yang berlaku secara berperingkat sejak 25 Julai ini telah meragut 373 nyawa.

Jeffri berkata Matta turut memantau perkembangan keadaan banjir di Thailand dan akan menasihatkan ahli-ahlinya mengenai perjalanan ke negara gajah putih itu. - BERNAMA

Artikel Lain