suria

Pengarah Syarikat Didakwa Jalankan Perniagaan Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pelaburan pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menjalankan perniagaan dalam kontrak niaga hadapan tanpa lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tahun lepas.

Pengarah Rantau Simfoni Sdn Bhd, Zamani Hamdan, 49, didakwa telah mengemukakan diri sebagai wakil OSK Investment Bank Berhad untuk melakukan aktiviti itu tanpa memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal.

Dia melakukan kesalahan itu di Rantau Simfoni Sdn Bhd, Suite 13C, Tingkat 13, Plaza Ampang City, Jalan Ampang di sini antara awal Mac 2010 dan akhir April 2010.

Tertuduh, yang tinggal di Batu Caves, Selangor didakwa mengikut Seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 59(2) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zamani, turut didakwa bagi pertuduhan alternatif kerana syarikatnya telah menjalankan suatu urusan perdagangan dalam kontrak-kontrak niaga hadapan tanpa memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal.

Kesalahan itu dilakukan di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 58(1)Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 58(4) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Aimi Khalidah Mohd Puzi dari SC menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.

Namun, Zamani yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana dia perlu menanggung keluarga termasuk ibu bapanya yang sudah tua dan anak yang menuntut di universiti.

"Saya tidak mempunyai simpanan wang yang banyak untuk membayar jaminan itu dan saya rela diberi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan," katanya.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 4 November ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Lain