suria

Kontraktor Didakwa Aib Ketua Biro MCA

BANTING: Seorang kontraktor kini berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM100 selepas dia didakwa melakukan perbuatan aib dengan menuang air dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan kepada Ketua Biro Pendidikan MCA, Ng Siok Hwa, lima hari lalu.

Tertuduh, Hong Lay Seng, 60, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, didakwa melakukan kesalahan tersebut di Tokong Hua Kwang, nombor 39, Jalan Intan, Taman Yayasan, Sungai Jarum, di sini pada pukul 9 malam, 24 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, lelaki bertubuh kurus itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Hong juga menghadapi pertuduhan kedua, iaitu dia didakwa secara sengaja telah mencederakan Ng, 48, dengan menggunakan tangan di tempat dan pada masa yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Ridhuan Abdullah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Hong juga didakwa atas tuduhan menghalang penjawat awam yang diketuai oleh Cif Inspektor Lasappie Lamide yang cuba untuk menahannya pada pukul 10.45 malam, hari yang sama di hadapan rumah nombor 83, Jalan Melati 6, Taman Melati, di sini.

Jika disabitkan bersalah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 186 kanun yang sama, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda sehingga RM1,000.

Pada prosiding itu, Ridhuan menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dan Hong yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan.

Pendaftar, Rozaidi Yaacob membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 November ini.

Artikel Lain