suria

KDN Laksana Penambahbaikan Susulan Laporan Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 dan akan mengambil tindakan susulan jika didapati wujud salah laku, kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab membabitkan aspek pengurusan kewangannya.

Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Mahmood Adam berkata pada masa sama, pelbagai inisiatif penambahbaikan juga telah dan sedang giat dilaksanakan selari dengan sasaran kementerian untuk mencapai penarafan empat bintang menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011.

"Ini berikutan penarafan tiga bintang kepada KDN menerusi Laporan Audit Tahun 2010 yang dibentangkan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat pada Isnin lepas (24 Oktober)," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai langkah proaktif telah diambil KDN termasuk mengenal pasti punca kementerian itu diberikan pencapaian tiga bintang bagi laporan audit 2010. Berpandukan maklumat itu, katanya pelbagai strategi diatur bagi menambah baik sistem sedia ada dan pada masa sama menaikkan penarafan keseluruhan.

"Antara inisiatif yang diambil ialah melakukan audit susulan terhadap proses pengauditan kewangan pada bulan depan selain sesi khas dengan semua bahagian serta agensi di bawah KDN yang dikenal pasti mempunyai kelemahan dalam pengurusan kewangannya bagi mengenal pasti masalah dan menyediakan panduan serta tunjuk ajar penyelesaian," katanya.

Di samping itu, Mahmood berkata Sistem Penilaian Prestasi Pengurusan Kewangan (S3PK), yang membabitkan pengurusan, pemantauan dan penilaian pengurusan kewangan kementerian juga telah dibangunkan secara atas talian (online) dan segala usaha sedang dibuat bagi menggalakkan penggunaannya di kalangan agensi dan pusat tanggungjawab. Beliau berkata penggunaan secara menyeluruh dan panduan yang diberi daripada semasa ke semasa akan menyumbang kepada peningkatan penarafan audit.

Pada masa sama, katanya Jawatankuasa Audit KDN turut diperkasa dan bilangan mesyuarat yang bertujuan memantau aktiviti keseluruhan pengurusan kewangan kementerian ditambah dan diadakan setiap bulan bermula Januari tahun ini, berbanding peraturan yang ditetapkan iaitu hanya empat kali setahun.

"Susulan daripada mesyuarat ini, fokus audit dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dalam pengurusan kewangan kementerian serta agensi berkaitan. Jika ada kelemahan dikenal pasti, sesi khas bagi tujuan penambahbaikan dan panduan tunjuk ajar akan segera dilaksanakan," katanya.

Mahmood berkata sehingga Oktober tahun ini, tiga sesi dialog antara beliau sebagai Pegawai Pengawal dengan lebih 300 wakil pusat tanggungjawab seluruh negara juga telah diadakan untuk menyampaikan taklimat pengurusan kewangan selain mengumpul maklum balas peserta bagi tujuan penambahbaikan.

Katanya amalan itu juga diperincikan melalui sesi khas dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia yang diadakan setiap minggu bagi merancang, memantau dan menilai prestasi operasi serta kewangan setiap agensi berkenaan.

Selain itu, beliau berkata berdasarkan post mortem yang dibuat hasil Laporan Audit Negara 2010, KDN juga mengambil inisiatif melantik pegawai khusus di setiap bahagian dan agensi di bawahnya bagi mengendalikan urusan dan hal ehwal membabitkan proses kerja Jabatan Audit Negara.

"Dengan mengambil kira semua inisiatif tersebut, KDN yakin penarafan empat bintang menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2011 boleh dicapai dan segala usaha merealisasikannya akan dilaksanakan dengan penuh komited oleh semua warga KDN," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain