suria

Juruelektrik Ditahan Selepas 15 Minit Lakukan Pecah Kereta

KUALA LUMPUR: Lima belas minit selepas memecah masuk sebuah kereta di taman perumahan Sri Hartamas di sini, seorang juruelektrik berjaya dicekup polis.

Penahanan lelaki berusia 36 tahun itu pada Selasa lepas juga membolehkan polis menyelesaikan 29 kes jenayah yang sama di sekitar kawasan Mont Kiara, Sri Hartamas, Bangsar dan Travers sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki itu ditahan apabila polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu ternampak kelibat suspek, yang dalam keadaan mencurigakan, berjalan sambil membawa komputer riba.

"Setelah disoal siasat, suspek mengaku baru sahaja selesai memecah sebuah kereta jenis Nissan Grand Lavina milik seorang jurujual di kawasan berhampiran pada kira-kira 10 malam," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Jumaat.

Beliau berkata selain komputer riba, suspek turut mengambil pasport dan barangan peribadi milik jurujual dalam kereta Nissan itu. Wan Abdul Bari berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes curi dan dadah.

"Suspek disambung reman empat hari lagi selepas reman tamat hari ini," katanya.

Dalam kes berasingan, tujuh lelaki berumur antara 20 dan 30-an ditahan di kawasan Little India, Brickfields di sini kerana terbabit dengan penjualan mercun sempena perayaan Deepavali baru-baru ini.

Wan Abdul Bari berkata mereka diberkas dalam 12 serbuan sejak dua minggu lepas.

"Hasil rampasan mercun dalam semua serbuan yang dilakukan polis dianggarkan bernilai RM200,000 dan mercun ini dijual secara terbuka di kaki lima sekitar Little India," katanya.

Kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah Isnin ini. - BERNAMA

Artikel Lain